Sunday, 6 December 2015

Wacana pemujukan

WACANA PEMUJUKAN


    Wacana pemujukan digunakan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Raminah Sabran (2002) menjelaskan bahawa retorik pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan penulis. Sebagai contoh, jika seseorang menghasilkan penulisan yang bertujuan untuk mendapatkan simpati pembaca terhadap kesengsaraan hidup seseorang, dan seterusnya meminta pembaca memberikan derma untuk membantunya, penulisan itu dikatakan bersifat pujukan.

     Antara ciri-cirinya, yang pertama, penulis perlu mengusulkan tindakan atau langkah yang harus dilakukan oleh audiens. Tindakan itu perlu jelas, khusus, dan dapat difahami oleh pembaca malah jika perlu, wajar diulang.

    Ciri kedua, bukti dan tujuan perlu diadun dengan kemas dan berkesan. Dengan kata lain, penulis berupaya untuk menghubungkaitkan hujah dengan tindakan yang disarannya. Hujah mesti jelas dan dapat menjadi bukti yang kukuh untuk merangsang tujuan atau tindakan. Sebagai contoh, jika penulis menyatakan sesuatu itu lemah, kelemahan itu perlu dibuktikan dengan tepat dan jelas. Penulis juga perlu memberikan saranan untuk mengatasi kelemahan itu. Kedua-duanya pula mestilah meyakinkan. Saranan perlu relevan dan memang diyakini boleh mengatasi kelemahan serta dapat mendorong pembaca untuk bertindak.
 
   Ciri ketiga, gaya penyampaian hujah dan saranan mestilah berkesan, bersifat imaginatif dan emotif. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting. Diksi yang tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Selain itu, penulis sendiri harus mempunyai keyakinan terhadap ketepatan dan kelemahan sesuatu yang diperkatakan.


    Penelitian terhadap retorik jenis pemujukan seperti iklan dalam media dapat menjelaskan tujuan dan matlamat pemujukan yang merupakan bentuk penyampaian ideologi, propaganda, atau alat untuk mempengaruhi sikap dan pendirian pembaca atau khalayak. Dalam erti kata lain, dalam proses memujuk atau mempengaruhi khalayak, wacana yang terhasil merupakan satu bentuk wacana yang lahir dari niat dan hasrat penulis mempengaruhi khalayak untuk menerima sesuatu fikiran atau amanat yang hendak disampaikannya.

    Antara perasaan yang sering dieksploitasi oleh penghasil lwacana termasuklah perasaan takut, belas kasihan, rasa bersalah, megah, malu, dan sayang. Kata-kata yang menarik yang sering digunakan oleh penghasil wacana adalah tampan, segak, menjimatkan, mempesonakan, memudahkan, terkini, berkualiti, istimewa dan sebagainya.

Terdapat dua jenis pemujukan iaitu;

  1. Pemujukan rasional ( penghujahan, penyampaian fakta, dan data yang lengkap ) 
  2. Pemujukan tidak rasional ( melibatkan emosi ).

Cara Penyampaian Yang Berkesan;
 1. Mendorong pihak sasaran melakukan sesuatu berdasarkan motivasi atau            ransangan tertentu.

Contohnya;  pelajar dinasihatkan agar tidak melanggar peraturan sekolah kerana bukan sahaja kelakuan itu diberi penilaian positif oleh pihak sekolah tetapi ianya merupakan syarat dan keperluan yang harus dipatuhi oleh semua pelajar.

2.   Kredibiliti pihak yang bercakap
   ~boleh dipercayai serta diyakini dari aspek;
                        ~ kecekapan
                        ~ amanah
                        ~ dinamisme
                        ~ orientasi

Kewibawaan dan pengalaman luas untuk bercakap dalam bidang yang diperkatakan (situasi formal atau tidak formal) dapat meyakinkan pendengar bahawa segala yang diperkatakan itu adalah benar, dan boleh dipercayai.

3. Pujukan berlandaskan logik iaitu strategi menggunakan pertimbangan  rasional.

     Terbahagi kepada 2 bentuk;

   ~proposisi-kenyataan  yang  diketengahkan  untuk  mencadangkan  atau            memperkukuh sesuatu yang diperkatakan.

   ~dalil – menggunakan bukti daripada pelbagai sumber (spt. petikan  ungkapan tokoh kesimpulan laporan, dapatan kajian,   pengalaman pihak  tertentu.)


4.  Pujukan yang berlandaskan emosi
  ~Kisah tentang pengalaman pahit orang yang bercakap akan mendorong pihak     yang mendengar bertindak secara melulu walaupun mereka langsung tidak         mengetahui punca peristiwa yang sebenarnya yang mana ianya mungkin           kesalahan daripada pihak yang bercakap.

 ~Begitulah kuasa yang ada pada bahasa pujukan yang boleh dan mampu mempengaruhi kita untuk melanggar undang-undang, menyerang sesuatu pihak, atau mengetepikan segala yang bersifat rasional.

Disertakan video rujukan :



No comments:

Post a Comment