Thursday, 3 December 2015

Bahaya Vape


                  

MASALAH VAPE DALAM KALANGAN REMAJA

Ada pelbagai nama untuk produk yang cukup menjadi fenomena masa kini. Ada yang menggelarnya vape. Ada juga yang memanggilnya e-cig. Bagi yang tidak biasa dengan istilah-istilah ini mungkin akan mengenalinya dengan nama rokok eletronik atau e-rokok.

Di Malaysia vape atau e-rokok ini telah menjadi fenomena dikalangan rakyat pelbagai peringkat umur. Terdapat pelbagai persepsi yang timbul terhadap aktiviti vaping ini dan ianya berbeza-beza mengikut lapisan umur. Ramai dikalangan orang dewasa terutama perokok percaya bahawa vape mampu mengurangkan ketagihan mereka terhadap rokok tembakau. Penggunaan vape bagi mereka telah menunjukkan keberhasilan dalam mengurangkan pengambilan rokok tembakau yang nyata mengandungi bahan kimia terlarang dan merbahaya. Ini menyebabkan sebahagian dari kelompok dewasa menganggapvape sebagai rawatan alternative yang ampuh untuk merawat ketagihan mereka terhadap rokok.

Sememangnya terdapat banyak testimoni pengguna dewasa yang menyatakan bahawa mereka telah berjaya meloloskan diri dari belenggu ketagihan rokok tembakau meskipun tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menyokong pendapat tersebut. Namun disebalik wajah baik vape yang ditonjolkan oleh kelompok dewasa ini, suka tidak suka kita tetap merasa kurang senang atau risau apabila melihat sekumpulan remaja berusia belasan tahun yang ber’vape’ sambil bersosial. Golongan vape bawah umur ini dilihat semakin berkembang bukan sahaja di negara kita bahkan di negara-negara lain juga di seluruh dunia.

Sumber dari New York Times menyatakan US berdepan dengan peningkatan pengguna vape bawah umur yang tinggi pada tahun 2014 iaitu sebanyak 13% yang membawa jumlah seramai 4.6 juta orang. Peningkatan dan kesan langsung terhadap golongan remaja ini telah membuatkan banyak negara mengenakan pelbagai sekatan terhadap penggunaan vape ini.

Sebagai contoh negara jiran kita Singapura dan Brunei telah awal-awal lagi mengharamkan terus penggunaan vape. Banyak lagi negara-negara seperti Israel, Brazil dan Mexico yang turut mengharamkan penggunaan vape. Terdapat juga negara-negara yang meskipun membolehkan penggunaan vape namun tetap menghalang penggunaan nikotin di dalam cecair vape contohnya Belgium dan Finland. Yang menariknya Negara China yag menjadi tanah kelahiran vape ini turut mengharamkan penggunaan vape di beberapa buah wilayahnya. Undang-undang kawalan wajib dikenakan ke atas vape terutama yang membabitkan pengguna remaja atau bawah umur. Hal ini perlu kerana tanpa kawalan yang sepatutnya penggunaan vape oleh kelompok remaja dan bawah umur akan kian berleluasa.

Ada yang bersifat ok dengan situasi ini kerana menganggap bahawa vape mempunyai kesan yang kurang merbahaya berbanding rokok tembakau. Namun kita lupa bahawa penggunaan vape bukanlah bersifat merawat atau mengurangkan mudharat tetapi ianya lebih kepada memindahkan satu mudharat kepada mudharat yang lain dalam rupa perbuatan yang lebih ringan dan boleh diterima oleh pandangan umum.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori Malaysia, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Mutallif menyatakan bahawa cecair vape masih mengandungi nikotin, sejenis bahan yang menyebabkan ketagihan. Sudut pandang yang melihat lebih baik remaja menggunakan vape dari menghisap rokok tembakau adalah satu pandangan yang terpedaya dalam perangkap normalisasi. Kerangka pemikiran sebegini akan membarahkan lagi keadaan kerana ia bersifat tidak mencegah bahkan seolah-olah beralasan dan memejamkan mata terhadap perbuatan buruk dan sia-sia yang wujud dalam bentuk baharu.

Dalam satu kajian yang dibuat di Southern California mendapati bahawa 25 % dari 2084 responden remaja menggunakan vape dan 5% daripada pengguna vape remaja ini langsung tidak pernah merokok. Pada Februari 2014 pusat Pencegahan dan Pengendalian Penyakit AS (CDC) telah menerima kira – kira 215 kes keracunan nikotin yang berpunca dari penggunaan vape. Termasuk dalam laporan ini ialah yang berlaku kepada remaja dan juga melibatkan mangsa paling muda berusia 5 tahun.

Di Malaysia penjualan cecair vape tanpa kawalan ini bakal mengundang kepada pelbagai lagi kes-kes keracunan atau salah guna cecair nikotin terutama melibatkan golongan bawah umur ini. Tambahan pula apabila baru-baru ini keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila Laporan Khas utusan Malaysia memuatkan laporan wujudnya cecair vape berperisa ganja dan ketum. Belum lagi kita mengambil kira cecair vape berperisa arak seperti jake brew dan sebagainya, kita seolah-olah memberi kebebasan yang seluas-luasnya untuk golongan remaja ini mendekati vape atau bahan-bahan terlarang lain yang di adunkan perisanya kedalam cecair vape.

Ternyata keseriusan di peringkat nasional sehinggalah ke peringkat penguatkuasaan dalam masyarakat perlu di implimentasikan dalam usaha untuk menyekat teraniayanya kelompok remaja di Malaysia dek kerana vape. Dengan maklumat yang tidak tepat, benar dan lengkap mengenai perbuatan vape dan bahan-bahan yang digunakan ia seolah-olah satu sikap yang berani dalam menggadaikan untung nasib generasi masa depan kita demi survival bisnes bernilai jutaan ringgit ini. Kita mahu Malaysia lebih dikenali dengan generasi muda yang mampu menjadi tonggak negara masa depan bukan sebagai negara yang menjuarai tangga kedua industri vape dunia seperti sekarang.




No comments:

Post a Comment