Monday, 7 December 2015

Teka-teki Rejab F.I


REJAB F.I

Rejab F.I.

Teka-teki ( biodata Rejab F.I )

1) Apa huruf selepas E, __ dan sebelum G ?
2) Apa maksud bagi huruf tersebut ?
3) Dalam banyak-banyak kerbau, kerbau apa yang tak pernah gemuk ?.



     REJAB Ismail atau nama pena Rejab F.I antara segelintir sasterawan dekad 1960-an yang terus konsisten, prolifik dan pemikirannya teranjak selari dengan zaman. Sebenarnya tidak banyak sasterawan yang menang mengharungi zaman dan mendepani perubahan pola pemikiran dengan generasi semasa. Lalu banyak yang mengambil langkah memperlahankan langkah atau mengundurkan diri dari gelanggang sastera.


   Malah ukuran kesenimanan seseorang bukanlah berapa tingginya gelombang yang melambung dia di puncak, tetapi berapa panjangkah usia kesenimanannya. Dalam konteks ini Rejab yang kini berusia 72 tahun terus menulis sejak berusia 19 tahun. Bermakna sepanjang 50 tahun Rejab tidak pernah berhenti menulis dalam kesibukan kerjayanya sebagai pendidik di banyak sekolah di Perlis.



   Buku ini adalah memoir Rejab, seorang budak kampung yang menggembala lembu, bersawah dan membesar bersama nyamuk dan agas, menggapai cita-cita menjadi sasterawan. Hingga kini, ketika saya singgah di rumah agamnya di pinggir bandar Kangar, Perlis, Rejab masih menulis. Beliau boleh berhenti daripada kerjaya yang sebati dengannya sebagai pendidik tetapi tidak boleh meninggalkan pena dan kertas. Hidupnya penuh dengan aksara, kata dan frasa.



    Rejab sangat terhutang budi kepada akhbar mingguan Utusan Zaman (bertulisan jawi), majalah Mastika dari bertulisan jawi hingga rumi yang menjadi pentas awal memperagakan karya-karya berupa cerpen dan puisi. Beliau adalah antara sejumlah besar sasterawan yang mula bertapak menerusi Utusan Zaman dan Mastika kemudian Mingguan Malaysia.



  Daripada memoir ini, kejayaan Rejab sebagai sasterawan kelihatan dibentuk oleh kesedaran untuk mengubah taraf hidup dan pemikiran masyarakat. Seorang guru tahun awal 1960-an adalah pemikir bagi dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak menguasai ilmu baca dan tulis yang tinggi. Rejab adalah pemikir dan pemerhati sosial zamannya, malah mempunyai kesedaran untuk mengubah kepada keadaan yang lebih baik. Beliau menggunakan kuasa sastera.



    Pengalaman hidup sebagai budak kampung yang daif mencelikkan Rejab sebagai agen perubahan. Boleh dikatakan hampir semua karya berbentuk novel, cerpen dan puisi dicetuskan daripada milieu sosial yang melingkari hidupnya sejak kanak-kanak. Karya-karya Rejab bukan sahaja mahu memajukan masyarakat supaya berfikir di luar kotak, malah menekankan kerukunan sosial dan moral yang sedikit demi sedikit terhakis oleh amukan modenisasi di pendalaman.



  Rejab sangat prihatin terhadap kerukunan sosial, tata susila dan kemajuan yang diperjuangkan tentunya bukanlah fizikal semata-mata. Kemajuan dari sudut manusiawi menjadi agenda utama Rejab dalam karya-karyanya.



    Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pendidik, Rejab mempunyai masa untuk menulis novel, cerpen dan puisi. Yang menariknya setiap karya yang ditulis mempunyai cerita benar yang dijadikan ilham bagi membuahkan karya tersebut. Rejab berjaya memindahkan fakta menjadi fiksi ke dalam karya tetapi memperkatakan isu sebenar yang dilaluinya ketika karya itu dihasilkan. Selepas menelaah memoir ini jelaslah bahawa Rejab hadir dalam setiap karyanya.



   Daripada memoir ini juga kita dapat melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh Rejab sejak setengah abad lalu. Hingga kini, beliau antara sasterawan yang lantang mengkritik pihak tertentu yang terlalu berlembut dan tidak berani mengangkat kedudukan bahasa Melayu.



   Kerana prinsip memperjuangkan bahasa Melayu ini jugalah Rejab mengkritik keras Tan Sri Ismail Hussein ketika memimpin Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dianggap bertolak ansur dalam isu bahasa Melayu. Rejab seorang yang tidak "malu alah" untuk berkata sesuatu yang benar sekalipun kepada orang yang sangat dihormati.



     Rejab mencatatkan rekod kecemerlangan tersendiri apabila berjaya memimpin Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 32 tahun mulai 1971 hingga 2003. Apa lagi kalau bukan kemampuan yang membolehkan beliau memimpin sebegitu lama dan menggerakkan 3P sebagai persatuan sastera dan budaya terpenting di wilayah utara.



    Di bawah kepimpinan Rejab, 3P menjadi persatuan penting dalam usaha melestarikan seni dan budaya tradisi negeri Perlis. Banyak tokoh seni dan budaya diberi penghargaan sebagai Tokoh Budaya, antaranya tokoh penglipurlara Mahmud Wahid (Awang Batil) dan Ismail Hassan (Tok Selampit).



     Kesan pertama apabila menyusuri memoir ini ialah membawa kita kembali pada milieu masyarakat tahun 1950-an hingga 1970-an di kawasan pendalaman di negeri Perlis. Membawa kita merasakan dengan jiwa tentang alam dan manusia di satu sudut negeri yang terasing dari limpahan pembangunan pada dekad berkenaan.



   Kepada generasi masa kini, memoir ini boleh dijadikan rujukan untuk melihat dan memahami sosiobudaya masa lampau, khususnya di sekitar alam yang melingkari kehidupan Rejab. Walaupun Rejab menceritakan kisah hidupnya tetapi beliau secara tanpa sedar menggambarkan keadaan sosial waktu itu.



No comments:

Post a Comment