Thursday 3 December 2015

kemudahan atau berjalan?



KENAIKAN TAMBANG MONOREL, KTM DAN ERL

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Ramai pengguna pengangkutan awam monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) berbeza pendapat terhadap kenaikan harga tambang yang bakal berkuatkuasa 2 Disember ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Stesen KL Sentral di sini hari ini mendapati ada pengguna yang meluahkan kekecewaan namun ada juga yang melihatnya secara positif. Kakitangan swasta, Dzulafiq Zainal, 28, berkata, kenaikan tambang itu tidak wajar dilakukan kerana dikhuatiri membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Sukar bagi keluarga yang berpendapatan bawah RM5,000 seperti saya untuk meneruskan kehidupan di ibu kota ini kerana kita sedia maklum harga barangan semua meningkat dengan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya.

Penjawat awam, Nasrin Mohd. Kasni, 53, pula berkata, dia berasa terbeban berikutan perubahan harga hampir mencecah 100 peratus untuk ke tempat kerja.
Katanya, dia sendiri terpaksa menggunakan dua pengangkutan awam iaitu LRT dan komuter untuk ke tempat kerja.“Jadi apabila ada kenaikan yang saya kira-kira hampir mencecah 100 peratus itu, ia sangat membebankan,” katanya. Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Khalisa Wahida Mohd. Adnan, 20, berkata, sebagai seorang pelajar kenaikan tersebut memberi kesan kepada ekonomi keluarganya.

“Sepatutnya harga tambang ini tidak dinaikkan dalam keadaan ekonomi yang sedang merudum lagipun saya masih belajar dan bergantung harap kepada keluarga. “Secara tidak langsung perkara ini memberi kesan kepada ekonomi keluarga saya,” katanya yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke kampus. Kadar tambang baharu perkhidmatan Komuter KTMB me­nyaksikan kenaikan daripada 4 sen satu kilometer dengan kenaikan maksimum RM7.10 bagi satu perjalanan manakala LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel RapidKL bakal mengalami penurunan dan peningkatan sebanyak RM1 hingga RM4.40.

Pegawai Khidmat Nasihat dan Sokongan SME Corporation Malaysia (SME Corp), Nadia Nordin, 29, pula berkata, pada awalnya kenaikan tambang tersebut mungkin menjadi masalah kepada pengguna namun dia percaya lama kelamaan pengguna akan dapat menerimanya. “Mahu atau tidak kita sebagai rakyat Malaysia haruslah menerima baik perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan. Mungkin kenaikan harga tambang ini memberi kebaikan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan swasta, Mohd. Azhan Othman, 34, berkata, kenaikan harga itu tidak menjejaskan kehidupannya sebagai pengguna LRT pada setiap hari. “Walaupun harga tambang pengangkutan awam ini naik, tetapi kos pengangkutan masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan membawa kenderaan sendiri,” katanya.

Helmi Samsuddin, 46, pula berkata, sebagai warga asing yang bekerja di negara ini, perkara tersebut bukanlah isu serius kerana perkhidmatan tersebut memberi keselesaan kepadanya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Kenaikan harga tambang ini sudah semestinya untuk penyelenggaraan perkhidmatan itu. Jadi tidak menjadi masalah sekiranya kenaikan tersebut untuk keselesaan pengguna,” katanya.




1 comment:

  1. How to get from one of the best casinos to a gambler - Dr. McD
    동해 출장마사지 how-to-get-from-a-gambling 전라남도 출장샵 충청남도 출장샵군포 출장샵 how-to-get-from-a-gambling 평택 출장안마

    ReplyDelete