Monday 7 December 2015

Teka-teki Rejab F.I


REJAB F.I

Rejab F.I.

Teka-teki ( biodata Rejab F.I )

1) Apa huruf selepas E, __ dan sebelum G ?
2) Apa maksud bagi huruf tersebut ?
3) Dalam banyak-banyak kerbau, kerbau apa yang tak pernah gemuk ?.



     REJAB Ismail atau nama pena Rejab F.I antara segelintir sasterawan dekad 1960-an yang terus konsisten, prolifik dan pemikirannya teranjak selari dengan zaman. Sebenarnya tidak banyak sasterawan yang menang mengharungi zaman dan mendepani perubahan pola pemikiran dengan generasi semasa. Lalu banyak yang mengambil langkah memperlahankan langkah atau mengundurkan diri dari gelanggang sastera.


   Malah ukuran kesenimanan seseorang bukanlah berapa tingginya gelombang yang melambung dia di puncak, tetapi berapa panjangkah usia kesenimanannya. Dalam konteks ini Rejab yang kini berusia 72 tahun terus menulis sejak berusia 19 tahun. Bermakna sepanjang 50 tahun Rejab tidak pernah berhenti menulis dalam kesibukan kerjayanya sebagai pendidik di banyak sekolah di Perlis.



   Buku ini adalah memoir Rejab, seorang budak kampung yang menggembala lembu, bersawah dan membesar bersama nyamuk dan agas, menggapai cita-cita menjadi sasterawan. Hingga kini, ketika saya singgah di rumah agamnya di pinggir bandar Kangar, Perlis, Rejab masih menulis. Beliau boleh berhenti daripada kerjaya yang sebati dengannya sebagai pendidik tetapi tidak boleh meninggalkan pena dan kertas. Hidupnya penuh dengan aksara, kata dan frasa.



    Rejab sangat terhutang budi kepada akhbar mingguan Utusan Zaman (bertulisan jawi), majalah Mastika dari bertulisan jawi hingga rumi yang menjadi pentas awal memperagakan karya-karya berupa cerpen dan puisi. Beliau adalah antara sejumlah besar sasterawan yang mula bertapak menerusi Utusan Zaman dan Mastika kemudian Mingguan Malaysia.



  Daripada memoir ini, kejayaan Rejab sebagai sasterawan kelihatan dibentuk oleh kesedaran untuk mengubah taraf hidup dan pemikiran masyarakat. Seorang guru tahun awal 1960-an adalah pemikir bagi dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak menguasai ilmu baca dan tulis yang tinggi. Rejab adalah pemikir dan pemerhati sosial zamannya, malah mempunyai kesedaran untuk mengubah kepada keadaan yang lebih baik. Beliau menggunakan kuasa sastera.



    Pengalaman hidup sebagai budak kampung yang daif mencelikkan Rejab sebagai agen perubahan. Boleh dikatakan hampir semua karya berbentuk novel, cerpen dan puisi dicetuskan daripada milieu sosial yang melingkari hidupnya sejak kanak-kanak. Karya-karya Rejab bukan sahaja mahu memajukan masyarakat supaya berfikir di luar kotak, malah menekankan kerukunan sosial dan moral yang sedikit demi sedikit terhakis oleh amukan modenisasi di pendalaman.



  Rejab sangat prihatin terhadap kerukunan sosial, tata susila dan kemajuan yang diperjuangkan tentunya bukanlah fizikal semata-mata. Kemajuan dari sudut manusiawi menjadi agenda utama Rejab dalam karya-karyanya.



    Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pendidik, Rejab mempunyai masa untuk menulis novel, cerpen dan puisi. Yang menariknya setiap karya yang ditulis mempunyai cerita benar yang dijadikan ilham bagi membuahkan karya tersebut. Rejab berjaya memindahkan fakta menjadi fiksi ke dalam karya tetapi memperkatakan isu sebenar yang dilaluinya ketika karya itu dihasilkan. Selepas menelaah memoir ini jelaslah bahawa Rejab hadir dalam setiap karyanya.



   Daripada memoir ini juga kita dapat melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh Rejab sejak setengah abad lalu. Hingga kini, beliau antara sasterawan yang lantang mengkritik pihak tertentu yang terlalu berlembut dan tidak berani mengangkat kedudukan bahasa Melayu.



   Kerana prinsip memperjuangkan bahasa Melayu ini jugalah Rejab mengkritik keras Tan Sri Ismail Hussein ketika memimpin Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dianggap bertolak ansur dalam isu bahasa Melayu. Rejab seorang yang tidak "malu alah" untuk berkata sesuatu yang benar sekalipun kepada orang yang sangat dihormati.



     Rejab mencatatkan rekod kecemerlangan tersendiri apabila berjaya memimpin Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 32 tahun mulai 1971 hingga 2003. Apa lagi kalau bukan kemampuan yang membolehkan beliau memimpin sebegitu lama dan menggerakkan 3P sebagai persatuan sastera dan budaya terpenting di wilayah utara.



    Di bawah kepimpinan Rejab, 3P menjadi persatuan penting dalam usaha melestarikan seni dan budaya tradisi negeri Perlis. Banyak tokoh seni dan budaya diberi penghargaan sebagai Tokoh Budaya, antaranya tokoh penglipurlara Mahmud Wahid (Awang Batil) dan Ismail Hassan (Tok Selampit).



     Kesan pertama apabila menyusuri memoir ini ialah membawa kita kembali pada milieu masyarakat tahun 1950-an hingga 1970-an di kawasan pendalaman di negeri Perlis. Membawa kita merasakan dengan jiwa tentang alam dan manusia di satu sudut negeri yang terasing dari limpahan pembangunan pada dekad berkenaan.



   Kepada generasi masa kini, memoir ini boleh dijadikan rujukan untuk melihat dan memahami sosiobudaya masa lampau, khususnya di sekitar alam yang melingkari kehidupan Rejab. Walaupun Rejab menceritakan kisah hidupnya tetapi beliau secara tanpa sedar menggambarkan keadaan sosial waktu itu.



Sunday 6 December 2015

Wacana pemujukan

WACANA PEMUJUKAN


    Wacana pemujukan digunakan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Raminah Sabran (2002) menjelaskan bahawa retorik pemujukan bermatlamat memujuk pembaca berbuat sesuatu, seperti yang diharapkan penulis. Sebagai contoh, jika seseorang menghasilkan penulisan yang bertujuan untuk mendapatkan simpati pembaca terhadap kesengsaraan hidup seseorang, dan seterusnya meminta pembaca memberikan derma untuk membantunya, penulisan itu dikatakan bersifat pujukan.

     Antara ciri-cirinya, yang pertama, penulis perlu mengusulkan tindakan atau langkah yang harus dilakukan oleh audiens. Tindakan itu perlu jelas, khusus, dan dapat difahami oleh pembaca malah jika perlu, wajar diulang.

    Ciri kedua, bukti dan tujuan perlu diadun dengan kemas dan berkesan. Dengan kata lain, penulis berupaya untuk menghubungkaitkan hujah dengan tindakan yang disarannya. Hujah mesti jelas dan dapat menjadi bukti yang kukuh untuk merangsang tujuan atau tindakan. Sebagai contoh, jika penulis menyatakan sesuatu itu lemah, kelemahan itu perlu dibuktikan dengan tepat dan jelas. Penulis juga perlu memberikan saranan untuk mengatasi kelemahan itu. Kedua-duanya pula mestilah meyakinkan. Saranan perlu relevan dan memang diyakini boleh mengatasi kelemahan serta dapat mendorong pembaca untuk bertindak.
 
   Ciri ketiga, gaya penyampaian hujah dan saranan mestilah berkesan, bersifat imaginatif dan emotif. Keupayaan penulis untuk menguasai audiens amat penting. Diksi yang tepat dan jalinan ayat yang kemas dan pelbagai memainkan peranan penting kerana kedua-duanya dapat memberikan tenaga kepada penulisan untuk menarik perhatian pembaca. Selain itu, penulis sendiri harus mempunyai keyakinan terhadap ketepatan dan kelemahan sesuatu yang diperkatakan.


    Penelitian terhadap retorik jenis pemujukan seperti iklan dalam media dapat menjelaskan tujuan dan matlamat pemujukan yang merupakan bentuk penyampaian ideologi, propaganda, atau alat untuk mempengaruhi sikap dan pendirian pembaca atau khalayak. Dalam erti kata lain, dalam proses memujuk atau mempengaruhi khalayak, wacana yang terhasil merupakan satu bentuk wacana yang lahir dari niat dan hasrat penulis mempengaruhi khalayak untuk menerima sesuatu fikiran atau amanat yang hendak disampaikannya.

    Antara perasaan yang sering dieksploitasi oleh penghasil lwacana termasuklah perasaan takut, belas kasihan, rasa bersalah, megah, malu, dan sayang. Kata-kata yang menarik yang sering digunakan oleh penghasil wacana adalah tampan, segak, menjimatkan, mempesonakan, memudahkan, terkini, berkualiti, istimewa dan sebagainya.

Terdapat dua jenis pemujukan iaitu;

  1. Pemujukan rasional ( penghujahan, penyampaian fakta, dan data yang lengkap ) 
  2. Pemujukan tidak rasional ( melibatkan emosi ).

Cara Penyampaian Yang Berkesan;
 1. Mendorong pihak sasaran melakukan sesuatu berdasarkan motivasi atau            ransangan tertentu.

Contohnya;  pelajar dinasihatkan agar tidak melanggar peraturan sekolah kerana bukan sahaja kelakuan itu diberi penilaian positif oleh pihak sekolah tetapi ianya merupakan syarat dan keperluan yang harus dipatuhi oleh semua pelajar.

2.   Kredibiliti pihak yang bercakap
   ~boleh dipercayai serta diyakini dari aspek;
                        ~ kecekapan
                        ~ amanah
                        ~ dinamisme
                        ~ orientasi

Kewibawaan dan pengalaman luas untuk bercakap dalam bidang yang diperkatakan (situasi formal atau tidak formal) dapat meyakinkan pendengar bahawa segala yang diperkatakan itu adalah benar, dan boleh dipercayai.

3. Pujukan berlandaskan logik iaitu strategi menggunakan pertimbangan  rasional.

     Terbahagi kepada 2 bentuk;

   ~proposisi-kenyataan  yang  diketengahkan  untuk  mencadangkan  atau            memperkukuh sesuatu yang diperkatakan.

   ~dalil – menggunakan bukti daripada pelbagai sumber (spt. petikan  ungkapan tokoh kesimpulan laporan, dapatan kajian,   pengalaman pihak  tertentu.)


4.  Pujukan yang berlandaskan emosi
  ~Kisah tentang pengalaman pahit orang yang bercakap akan mendorong pihak     yang mendengar bertindak secara melulu walaupun mereka langsung tidak         mengetahui punca peristiwa yang sebenarnya yang mana ianya mungkin           kesalahan daripada pihak yang bercakap.

 ~Begitulah kuasa yang ada pada bahasa pujukan yang boleh dan mampu mempengaruhi kita untuk melanggar undang-undang, menyerang sesuatu pihak, atau mengetepikan segala yang bersifat rasional.

Disertakan video rujukan :



Thursday 3 December 2015

kemudahan atau berjalan?



KENAIKAN TAMBANG MONOREL, KTM DAN ERL

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Ramai pengguna pengangkutan awam monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) berbeza pendapat terhadap kenaikan harga tambang yang bakal berkuatkuasa 2 Disember ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Stesen KL Sentral di sini hari ini mendapati ada pengguna yang meluahkan kekecewaan namun ada juga yang melihatnya secara positif. Kakitangan swasta, Dzulafiq Zainal, 28, berkata, kenaikan tambang itu tidak wajar dilakukan kerana dikhuatiri membebankan rakyat berpendapatan rendah.

“Sukar bagi keluarga yang berpendapatan bawah RM5,000 seperti saya untuk meneruskan kehidupan di ibu kota ini kerana kita sedia maklum harga barangan semua meningkat dengan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya.

Penjawat awam, Nasrin Mohd. Kasni, 53, pula berkata, dia berasa terbeban berikutan perubahan harga hampir mencecah 100 peratus untuk ke tempat kerja.
Katanya, dia sendiri terpaksa menggunakan dua pengangkutan awam iaitu LRT dan komuter untuk ke tempat kerja.“Jadi apabila ada kenaikan yang saya kira-kira hampir mencecah 100 peratus itu, ia sangat membebankan,” katanya. Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Khalisa Wahida Mohd. Adnan, 20, berkata, sebagai seorang pelajar kenaikan tersebut memberi kesan kepada ekonomi keluarganya.

“Sepatutnya harga tambang ini tidak dinaikkan dalam keadaan ekonomi yang sedang merudum lagipun saya masih belajar dan bergantung harap kepada keluarga. “Secara tidak langsung perkara ini memberi kesan kepada ekonomi keluarga saya,” katanya yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke kampus. Kadar tambang baharu perkhidmatan Komuter KTMB me­nyaksikan kenaikan daripada 4 sen satu kilometer dengan kenaikan maksimum RM7.10 bagi satu perjalanan manakala LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang dan Monorel RapidKL bakal mengalami penurunan dan peningkatan sebanyak RM1 hingga RM4.40.

Pegawai Khidmat Nasihat dan Sokongan SME Corporation Malaysia (SME Corp), Nadia Nordin, 29, pula berkata, pada awalnya kenaikan tambang tersebut mungkin menjadi masalah kepada pengguna namun dia percaya lama kelamaan pengguna akan dapat menerimanya. “Mahu atau tidak kita sebagai rakyat Malaysia haruslah menerima baik perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan. Mungkin kenaikan harga tambang ini memberi kebaikan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan swasta, Mohd. Azhan Othman, 34, berkata, kenaikan harga itu tidak menjejaskan kehidupannya sebagai pengguna LRT pada setiap hari. “Walaupun harga tambang pengangkutan awam ini naik, tetapi kos pengangkutan masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan membawa kenderaan sendiri,” katanya.

Helmi Samsuddin, 46, pula berkata, sebagai warga asing yang bekerja di negara ini, perkara tersebut bukanlah isu serius kerana perkhidmatan tersebut memberi keselesaan kepadanya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Kenaikan harga tambang ini sudah semestinya untuk penyelenggaraan perkhidmatan itu. Jadi tidak menjadi masalah sekiranya kenaikan tersebut untuk keselesaan pengguna,” katanya.




Bahaya Vape


                  

MASALAH VAPE DALAM KALANGAN REMAJA

Ada pelbagai nama untuk produk yang cukup menjadi fenomena masa kini. Ada yang menggelarnya vape. Ada juga yang memanggilnya e-cig. Bagi yang tidak biasa dengan istilah-istilah ini mungkin akan mengenalinya dengan nama rokok eletronik atau e-rokok.

Di Malaysia vape atau e-rokok ini telah menjadi fenomena dikalangan rakyat pelbagai peringkat umur. Terdapat pelbagai persepsi yang timbul terhadap aktiviti vaping ini dan ianya berbeza-beza mengikut lapisan umur. Ramai dikalangan orang dewasa terutama perokok percaya bahawa vape mampu mengurangkan ketagihan mereka terhadap rokok tembakau. Penggunaan vape bagi mereka telah menunjukkan keberhasilan dalam mengurangkan pengambilan rokok tembakau yang nyata mengandungi bahan kimia terlarang dan merbahaya. Ini menyebabkan sebahagian dari kelompok dewasa menganggapvape sebagai rawatan alternative yang ampuh untuk merawat ketagihan mereka terhadap rokok.

Sememangnya terdapat banyak testimoni pengguna dewasa yang menyatakan bahawa mereka telah berjaya meloloskan diri dari belenggu ketagihan rokok tembakau meskipun tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menyokong pendapat tersebut. Namun disebalik wajah baik vape yang ditonjolkan oleh kelompok dewasa ini, suka tidak suka kita tetap merasa kurang senang atau risau apabila melihat sekumpulan remaja berusia belasan tahun yang ber’vape’ sambil bersosial. Golongan vape bawah umur ini dilihat semakin berkembang bukan sahaja di negara kita bahkan di negara-negara lain juga di seluruh dunia.

Sumber dari New York Times menyatakan US berdepan dengan peningkatan pengguna vape bawah umur yang tinggi pada tahun 2014 iaitu sebanyak 13% yang membawa jumlah seramai 4.6 juta orang. Peningkatan dan kesan langsung terhadap golongan remaja ini telah membuatkan banyak negara mengenakan pelbagai sekatan terhadap penggunaan vape ini.

Sebagai contoh negara jiran kita Singapura dan Brunei telah awal-awal lagi mengharamkan terus penggunaan vape. Banyak lagi negara-negara seperti Israel, Brazil dan Mexico yang turut mengharamkan penggunaan vape. Terdapat juga negara-negara yang meskipun membolehkan penggunaan vape namun tetap menghalang penggunaan nikotin di dalam cecair vape contohnya Belgium dan Finland. Yang menariknya Negara China yag menjadi tanah kelahiran vape ini turut mengharamkan penggunaan vape di beberapa buah wilayahnya. Undang-undang kawalan wajib dikenakan ke atas vape terutama yang membabitkan pengguna remaja atau bawah umur. Hal ini perlu kerana tanpa kawalan yang sepatutnya penggunaan vape oleh kelompok remaja dan bawah umur akan kian berleluasa.

Ada yang bersifat ok dengan situasi ini kerana menganggap bahawa vape mempunyai kesan yang kurang merbahaya berbanding rokok tembakau. Namun kita lupa bahawa penggunaan vape bukanlah bersifat merawat atau mengurangkan mudharat tetapi ianya lebih kepada memindahkan satu mudharat kepada mudharat yang lain dalam rupa perbuatan yang lebih ringan dan boleh diterima oleh pandangan umum.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori Malaysia, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Mutallif menyatakan bahawa cecair vape masih mengandungi nikotin, sejenis bahan yang menyebabkan ketagihan. Sudut pandang yang melihat lebih baik remaja menggunakan vape dari menghisap rokok tembakau adalah satu pandangan yang terpedaya dalam perangkap normalisasi. Kerangka pemikiran sebegini akan membarahkan lagi keadaan kerana ia bersifat tidak mencegah bahkan seolah-olah beralasan dan memejamkan mata terhadap perbuatan buruk dan sia-sia yang wujud dalam bentuk baharu.

Dalam satu kajian yang dibuat di Southern California mendapati bahawa 25 % dari 2084 responden remaja menggunakan vape dan 5% daripada pengguna vape remaja ini langsung tidak pernah merokok. Pada Februari 2014 pusat Pencegahan dan Pengendalian Penyakit AS (CDC) telah menerima kira – kira 215 kes keracunan nikotin yang berpunca dari penggunaan vape. Termasuk dalam laporan ini ialah yang berlaku kepada remaja dan juga melibatkan mangsa paling muda berusia 5 tahun.

Di Malaysia penjualan cecair vape tanpa kawalan ini bakal mengundang kepada pelbagai lagi kes-kes keracunan atau salah guna cecair nikotin terutama melibatkan golongan bawah umur ini. Tambahan pula apabila baru-baru ini keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila Laporan Khas utusan Malaysia memuatkan laporan wujudnya cecair vape berperisa ganja dan ketum. Belum lagi kita mengambil kira cecair vape berperisa arak seperti jake brew dan sebagainya, kita seolah-olah memberi kebebasan yang seluas-luasnya untuk golongan remaja ini mendekati vape atau bahan-bahan terlarang lain yang di adunkan perisanya kedalam cecair vape.

Ternyata keseriusan di peringkat nasional sehinggalah ke peringkat penguatkuasaan dalam masyarakat perlu di implimentasikan dalam usaha untuk menyekat teraniayanya kelompok remaja di Malaysia dek kerana vape. Dengan maklumat yang tidak tepat, benar dan lengkap mengenai perbuatan vape dan bahan-bahan yang digunakan ia seolah-olah satu sikap yang berani dalam menggadaikan untung nasib generasi masa depan kita demi survival bisnes bernilai jutaan ringgit ini. Kita mahu Malaysia lebih dikenali dengan generasi muda yang mampu menjadi tonggak negara masa depan bukan sebagai negara yang menjuarai tangga kedua industri vape dunia seperti sekarang.




Tak Kenal Maka Tak Cinta

BIOGRAFI P.RAMLEE
Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Tan Sri P. Ramlee nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan. Beliau digelar seniman agung negara kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asian Tenggara. Perjuangannya dalam arena seni selama 25 tahun membawa P. Ramlee ke mercu kejayaan sebagai penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah filem, dan sebagai penerbit filem.

LATAR BELAKANG P.RAMLEE

                                              


Menerima pingat kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1962.

       Hasil perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925, P. Ramlee dilahirkan pada 22 Mac 1929 pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Beliau dilahirkan di rumah neneknya di Pulau Pinang.
       P. Ramlee memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya di Francis Light School. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Semasa Perang Dunia Kedua, P. Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School.
      P. Ramlee telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
PERKAHWINAN
        P. Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Junaidah Daeng Harris (1950), Noorizan Mohd. Noor (1955) dan Salmah Ismail atau Saloma (1961). Beliau hanya dikurniakan dua orang anak melalui hasil perkahwinannya bersama Junaidah iaitu Mohd. Nasir dan Arfan. P. Ramlee juga mempunyai anak tiri iaitu Abdul Rahman (anak Junaidah), Norma (anak Noorizan) dan Armali (anak Saloma dan A.R.Tompel). Bukan itu sahaja, P. Ramlee juga mempunyai anak angkat iaitu Sazali, Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan Dian.
FILEM DAN LAGU
   P. Ramlee telah berlakon dalam 66 buah filem. Bermula dengan filem pertama Chinta (1948) sehinggalah filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972). Dalam dunia seni suara pula, P. Ramlee telah mendendangkan sebanyak 359 buah lagu termasuklah hit seperti Dendang Perantau, Azizah, Bunyi Gitar, Getaran Jiwa dan Madu Tiga.
Image result for p.ramlee anugerah film asia ke 7


Meraikan kejayaan meraih anugerah pada Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun pada tahun 1960 bersama pelakon Bat Latiff.

PENGHARGAAN
      Bagi mengenang jasa dan sumbangannya terhadap negara, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.
      Selain itu, rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur telah diubah suai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee pada tahun 1986.
     Nama P. Ramlee turut diabadikan pada sebatang jalan di tengah ibu kota Kuala lumpur iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982.
     Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran Doktor.
     Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.






Adakah negara kita sudah merdeka??


    SEJARAH MERDEKA

TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.

Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia.


MENELUSURI JEJAK KEMERDEKAAN

Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara, Kongres Melayu pertama yang diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Kebangsaan (UMNO). Usaha ini memantapkan perjuangan dan pembentukan negara dengan bangsa yang berdaulat.Walaupun Tanah Melayu diisytiharkan darurat pada 1948 akibat pemberontakan komunis, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat para pejuang kemerdekaan tanah air tercinta.Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Walaupun percubaan sulung itu tidak berjaya, kemerdekaan akhirnya tercapai setelah melalui pelbagai halangan dan rintangan untuk mendapatkannya.


KRONOLOGI MENCAPAI KEMERDEKAAN

27 Julai 1955
Pilihan raya Persekutuan pertama diadakan. (UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.


1O Ogos 1955
Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India.


18 Januari – 6 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di London.


8 Februari 1956
Perjanjian Merdeka telah dimeterai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.


20 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.


21 Mac 1956
Suruhanjaya Perlembagaan Reid, sebuah suruhanjaya bebas telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan


28 – 29 Disember 1956
Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis. Lalu, Rundingan Baling diadakan pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM).


30 Ogos 1957
Detik 12.00 tengah malam, bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu tanda negara mencapai kemerdekaan.


31 Ogos 1957
Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.



Antara perkara paling penting yang dapat dijadikan teladan serta dihayati di akhir perjuangan kemerdekaan ini adalah wujudnya persefahaman di antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Persefahaman ini telah menjadi resepi utama perpaduan dalam kalangan penduduk di Malaysia. Semoga persefahaman ini berkekalan dan perpaduan terus mekar bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia.



Apakah Peranan Seorang Guru (tokoh pendidikan Aminuddin Baki).

TOKOH PENDIDIKAN : AMINUDDIN BAKI


Aminuddin Baki, bertubuh sederhana, berkaca mata dan berwajah tenang, anak watan negeri Perak Darul Ridzuan, merupakan anak melayu termuda yang pernah dilantik untuk menyandang jawatan Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia, telah dilahirkan dalam keluarga sederhana yang kuat beribadat di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor mulai tahun 1932. Pada 1936, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Anderson, Ipoh pada tahun 1936 hingga 1941. Beliau lulus cemerlang dalam sijil persekolahannya pada tahun 1946. Aminuddin sebagai belia yang bersemangat kebangsaan berusaha meniupkan semangat tersebut dengan menyatukan pelajar-pelajar Melayu. Dalam bulan April 1946, usaha beliau itu berhasil dengan tertubuhnya PERMI (Persatuan Pelajar Melayu Insaf) di Ipoh. 

Dalam bulan Ogos 1947 pula, Aminuddin berjaya menyatukan tenaga pelajar-pelajar di Negeri Perak, dengan itu muncullah PERMI Negeri Perak. Aminuddin Baki melanjutkan pelajaran ke Raffles College, Singapura. Ketika dalam pengajian, beliau telah mengambil inisiatif menyatukan pelajar-pelajar Melayu dari Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward. Pelajar tersebut telah menubuhkan Jawatankuasa Sementara Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Pada Oktober 1949, Aminuddin Baki menyambung semula pelajaran di Universiti Malaya. Beliau telah lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera (B.A) dalam tahun 1950. 

Aminuddin Baki mempunyai rekod pelajaran yang cemerlang sehingga beliau dianugerahkan hadiah pelajaran ‘Queen’s Scholarship’ dan disusuli ‘Queen’s Fellow’ untuk melanjutkan pelajaran di peringkat kepujian dan Ijazah ‘Master of Methods’ di Universiti of London. Sekembalinya dari London, Aminuddin Baki bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris yang kini dikenali sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Beliau kemudiannya bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pelajaran dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Negeri Sembilan dan Selangor. Pada tahun 1961, beliau telah dilantik menjadi Ketua Penasihat Pelajaran ketika beliau berusia 36 tahun 

Aminuddin Baki menjadikan pendidikan sebagai medan perjuangan untuk berbakti kepada bangsa dan negara. Beliau mencurahkan segala pengalaman beliau dengan menduduki hampir seluruh jawatankuasa yang mengkaji sistem pelajaran sebelum dan selepas merdeka. Selain bidang pendidikan, beliau juga turut serta dalam memberikan sumbangan dalam aneka bidang. Antaranya bidang bahasa, budaya dan kemasyarakatan. Beliau juga merupakan tokoh penting dalam peloporan gerakan pelajar terutamanya GPMS. Aminuddin Baki seorang yang kuat beribadat, sejarah Islam menjadi sumber kekuatan dirinya dan agama Islam dianuti sebagai pembimbing manusia di dunia dan akhirat. Beliau meninggal dunia pada 24 Disember 1965.



PERANAN GURU DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Pendahuluan

-Tanggal 16 Mei merupakan suatu tarikh yang tidak asing lagi bagi Negara kita.  Pada 16 Mei merupakan hari keramat bagi setiap insan yang bergelar guru  kerana pada tarikh tersebut akan diadakan sambutan “Hari Guru”.


Isi

1) Lahir golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. 
    -melahirkan tenaga mahir dan pakar-pakar dalam setiap bidang untuk menjamin                 kemajuan negara.


2) Bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu.
    -menguasai ilmu psikologi dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif            dalam pembelajaran dan pemelajaran.

3) Melahirkan golongan yang memiliki mentaliti kelas pertama kepada tanah air  kita.
   -menyuntikkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya mereka dapat menuju ke arah          hakiki dan tidak mudah terpengaruh oleh hasutan syaitan.

4) Membanteras sindrom sosial dalam pekarangan sekolah dan masyarakat kita.  
   -kini banyak pelajar telah dipengaruhi oleh budaya barat dan hedonisme sehingga               terbelenggu oleh kemelut sosial.
   -mengorbankan masa dan tenaga untuk memulihkan pelajar yang tersesat di hujung           jalan supaya mereka dapat balik ke pangkal jalan.

Kesimpulan

-Guru memainkan peranan yang utama dalam membentuk modal insan yang berkualiti        supaya dapat membimbing pelajar-pelajar ke arah kecemerlangan.